Di dalam Al-Quran banyak bercerita bahawa para nabi selalu mengajak beristighfar. Nabi Saleh berkata kepada kaumnya (Tsamud): "Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada bagimu Tuhan selain Dia. Dia telah menciptakan kamu dari bumi (Tanah) dan menjadikan kamu pemakmurnya, kerana itu mohonlah keampunan-Nya, kemudian bertaubatlah kepada-Nya. Sesungguhnya Tuhanku amat dekat (rahmat-Nya) lagi memperkenankan (doa hamba-Nya)." (QS Hud [11]:61).
Kepada kaum Aad, Nabi Hud berkata, "Hai kaumku, mohonlah ampun kepada Tuhanmu lalu bertaubatlah kepada-Nya, nescaya Dia menurunkan hujan yang sangat lebat ke atasmu, dan Dia akan menambahkan kekuatan kepada kekuatanmu, dan janganlah kamu berpaling dengan berbuat dosa." (QS Hudud [11]:52).
Banyak orang menyangka bahawa istighfar atau taubat itu sudah cukup hanya dengan lisan. Sementara dengan perbuatannya tetap berlanjut dalam dosa-dosa. Istighfar seperti ini menurut para ulama adalah istighfar setengah hati. Al-Ashfahani menerangkan, "Istighfar ertinya memohon keampunan dengan ucapan dan perbuatan. Maka perintah Allah yang ertinya mohonlah ampun kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun." (QS Nuh [71]:10) itu perintah untuk memohon keampunan dengan lisan dan perbuatan. Sesiapa yang mengatakan bahawa itu cukup dengan lisan sahaja, jelas itu perbuatan para pendusta."
Imam An Nawawi dalam bukunya Riyadhush Shalihin berkata, "Taubat adalah wajib atas setiap dosa." Bila dosa itu berhubungan dengan Allah, syaratnya ada tiga. Pertama, meninggalkan dosa-dosa tersebut. Kedua, menyesal atas dosa-dosa yang telah dilakukan. Ketiga, bertekad untuk tidak mengulanginya lagi. Tetapi bila dosa-dosa tersebut bersifat sosial ditambah satu syarat lagi, hendaklah menyelesaikannya secara sosial, dengan mengembalikan hak-haknya jika berupa harta atau meminta maaf jika ia berupa ghibah atau sikap yang menyakitkan hatinya.
Banyak kisah sahabat Nabi s.a.w yang mengesankan, bagaimana mereka menebus dosa setelah bertaubat. Sebut saja misalnya Umair bin Wahab, setelah masuk Islam ia sedar semasa kafirnya ia sangat memusuhi Nabi bahkan ia pernah bertekad untuk membunuhnya.
Mengingat dosa ini Umair meminta izin kepada Rasulullah s.a.w untuk berdakwah langsung di tengah masyarakat Quraisy di Mekah. Rasulullah mengizinkannya. Umair berangkat dan di Mekah, Umair siang dan malam berdakwah sehingga tidak terhitung jumlah orang-orang kafir yang masuk Islam kerananya.
Sumber : UJANG
Tweet
No comments:
Post a Comment
Ada apa komen boleh tinggalkan di sini :)